Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Pengalaman kami di "pre-school" Balqis


Status: Offline
Posts: 148
Date:
Pengalaman kami di "pre-school" Balqis


Asm,


Mungkin ini boleh dikongsi bersama, pengalaman kami ketika ditanya oleh guru di pra-sekolah Balqis, mengapa Balqis bertudung dan tidak anak-anak yang lain. Alhamdulillah kami telah berusaha memberikan jawapan sehemah yang mungkin berpandukan rujukan dan ilmu yang ada dalam diri.


 


Ya Allah kuatkan hati kami dan jangan balik-balikkan hati kami setelah engkau memberi hidayah kepada kami. Amin.


#####################################


Disertaikan di bawah masalah yang hampir sama berlaku kepada saudara kita seislam di negara jiran sebelah dalam menegakkan perintah Allah.


Semoga temubual di bawah tidak menyinggung sensitiviti sesiapa , bahkan lagi bagi seseorang yang bergelar Islam.


########################


Mukadimah
MOHD. Nasser Jamaluddin dan Mariam Alias merupakan dua orang rakyat biasa Singapura yang hidup sederhana tetapi sentiasa inginkan keluarga mereka membesar dalam tradisi Islam.

Nama mereka tidak popular di republik itu seperti sesetengah pemimpin Melayu-Islam terkenal Singapura yang kerap dirujuk apabila berlaku polemik dalam masyarakat minoriti Melayu di negara pulau itu.

Bagaimanapun, pandangan mereka yang disiarkan dalam ruangan wawancara ini sedikit sebanyak mencerminkan kegelisahan orang Islam di Singapura.

Mohd. Nasser merupakan bapa yang disebut-sebut di Singapura sejak dua minggu lalu kerana anaknya Nurul Nasihah digantung sekolah oleh pihak berkuasa pendidikan Singapura selepas bertegas untuk ke sekolah dengan memakai tudung.

Selain Nurul Nasihah, tiga orang pelajar perempuan Islam lain turut dikenakan tindakan yang sama kerana memilih untuk bertudung ke sekolah.

Pemerintah Singapura, seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Goh Chok Tong, melarang anak Mohd. Nasser menutup auratnya di sekolah atas alasan peraturan dan matlamat integrasi kaum. Kata Goh, beliau difahamkan tidak wajib bagi kanak-kanak perempuan Islam yang belum baligh bertudung.

Dalam interviu dengan wartawan HABIBAH OMAR, Mohd. Nasser mengupas isu tudung itu dari kaca matanya sebagai seorang  bapa Islam.

``Isu ini adalah soal hak asasi sebagai bapa Islam dan hak anak saya untuk dididik menutup aurat. Mendidik anak menutup aurat merupakan satu tradisi Islam, jadi tidak timbul soal sama ada ia patut dipakai sebelum atau selepas akil baligh,'' katanya.

Dalam interviu berasingan, Mariam pula menceritakan perasaannya sebagai wanita Islam bertudung yang hidup dalam negara sekular Singapura.

MINGGUAN: Pada pandangan saudara, apakah punca sebenar isu tudung. Adakah ia berpunca akibat salah faham saudara dan prejudis pihak tertentu?

MOHD. NASSER: Ada pihak yang menyatakan bahawa anak perempuan saya belum baligh, jadi dia tidak perlu memakai tudung. Mereka kata tidak perlu untuk anak saya memakai tudung sekarang, tetapi mereka tidak pula menyoal apakah
yang akan terjadi apabila budak itu baligh.

Mereka tidak memberikan saya satu penyelesaian. Sekarang anak saya belum baligh, tetapi jika dia baligh nanti, adakah dia boleh memakai tudung bila dia belajar di sekolah nasional?

Salah faham ini berlaku kerana ada segelintir pihak di Singapura yang tidak tahu hukum sehingga ia menyumbang ke arah salah faham.

Adakah masalah ini berpunca daripada sikap masyarakat bukan Islam Singapura yang tidak memahami Islam?

MOHD. NASSER: Saya tidak fikir kita boleh salahkan mereka kerana tidak memahami Islam tetapi dalam soal tudung sekarang, adalah bahaya jika masyarakat bukan Islam itu diberikan pemahaman yang salah oleh pihak berkuasa Islam.

Dalam hal ini, adalah perlu umat Islam dan badan Islam Singapura memahamkan pemerintah kerana sebahagian besar daripada birokrasi pemerintah adalah bukan Islam.

Dalam usaha memberikan pemahaman itu, apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam Singapura?

MOHD. NASSER: Kita kena tahu bahawa peranan ini tidak boleh dilakukan oleh seorang sahaja. Saya seorang tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Ia perlu melibatkan badan-badan Islam yang lain untuk mencari penyelesaian menyeluruh.

Insya-Allah pemimpin bukan Islam di Singapura akan menerima pandangan kita jika mereka difahamkan bahawa memakai tudung dan menutup aurat adalah ajaran Islam yang perlu dilaksanakan.

Anak sulung saudara yang juga seorang perempuan dihantar bersekolah ke madrasah. Mengapa Nurul Nasihah tidak dihantar belajar ke madrasah yang sama supaya dia juga boleh memakai tudung?

MOHD. NASSER: Anak pertama saya sekarang berada dalam tahun lima di sekolah madrasah. Saya menghantarnya ke madrasah kerana saya inginkan sangat dia memakai tudung dan mendidiknya menutup aurat sejak kecil.

Namun sistem madrasah di Singapura mempunyai kelemahan kerana dana dan kemudahan yang tidak mencukupi.  Di Singapura, ada madrasah, sekolah nasional dan sekolah persendirian tetapi sekolah-sekolah lain semuanya diberi perhatian penuh oleh kerajaan kecuali madrasah.

Kalau keadaan ini berterusan, bagaimanakah kita hendak harapkan madrasah akan berjaya seperti sekolah nasional.

Saya sangat hampa sebab dana dan kemudahan yang tidak mencukupi di madrasah akan menjejaskan mutu pendidikan para pelajar Islam.

Di madrasah, dana tidak mencukupi manakala guru-guru pula bukanlah guru graduan seperti guru-guru sekolah nasional.

Berdasarkan latar belakang ini, kita boleh jangkakan tahap mutu
pendidikan di madrasah-madrasah di Singapura.

Bilakah anak saudara diarahkan membuka tudung oleh pihak berkuasa sekolah Singapura?

MOHD. NASSER: Nurul Nasihah mula bersekolah pada 2 Januari lalu dan sejak hari pertama bersekolah, dia telah memakai tudung. Dua hari yang pertama dia tidak terima sebarang komplen.

Masuk hari ketiga, guru memanggil saya dan menyatakan perbuatan anak  saya memakai tudung telah melanggar peraturan sekolah.

Kata mereka, peraturan sekolah di Singapura adalah memakai uniform  sekolah yang proper. Saya tanya bagaimanakah beliau mentafsirkan istilah proper sedangkan anak saya memakai tudung bersama uniform sekolah.

Apakah yang mereka beritahu saudara?

MOHD. NASSER: Mereka kata itu adalah peraturan tetapi saya tegaskan saya tidak dapat menerimanya kerana sebagai warganegara Singapura, saya mempunyai hak untuk menentukan anak saya memakai tudung bagi menutup aurat.

Dalam Islam, Rasulullah menyatakan bahawa anak-anak harus dididik dan diajar bersolat dan apabila umurnya meningkat 10 tahun, dia boleh dipukul jika tidak menunaikan solat sebagai satu cara mendidik.

Dalam hal ini, ajaran itu adalah sama dengan apa yang saya buat
sekarang iaitu memberi pendidikan kepada anak saya tentang tuntutan-tuntutan Islam sebelum mereka dewasa.

Reaksi masyarakat Islam Singapura terhadap langkah saudara menentang pihak berkuasa pendidikan Singapura, adakah saudara mendapat sokongan?

MOHD. NASSER: Saya difahamkan bahawa komuniti Islam Singapura juga memberikan sokongan jitu. Alhamdulillah, saya menerima e-mel dan telefon daripada mereka yang memberikan sokongan dan mendoakan saya berjaya. Rumah saya juga
tidak henti-henti menerima tetamu.

Cara apakah yang boleh dilakukan untuk meyakinkan pemerintah Singapura bahawa memakai tudung tetap melambangkan integrasi antara kaum di republik ini?

MOHD. NASSER: Orang Islam yang faham dan mahir harus memberitahu kerajaan bahawa memakai tudung itu adalah wajib. Tentang kaitan antara integrasi dan tudung pula, kita lihat di Malaysia iaitu jiran yang paling dekat dengan Singapura, rata-rata pakaian seragam sekolah pelajar Malaysia adalah  sama.
Kalau biru, maka semuanya biru baik lelaki dan perempuan.

Yang berbeza ialah anak-anak perempuan Islam di Malaysia dibenarkan menutup aurat mereka.

Di Singapura pula, kita lihat setiap sekolah memakai uniform yang berlainan. Semasa aktiviti ko-kurikulum seperti perbahasan antara sekolah, timbul konsep `kita-kita' iaitu aku dari sekolah baik dan tengok pakaian aku.

Saya percaya jika semua pelajar memakai uniform yang sama seperti di Malaysia, barulah ada integrasi.

Mengapakah anak-anak kaum Sikh di Singapura dibenarkan memakai serban malah mereka juga boleh menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar?
Adakah itu satu diskriminasi terhadap pelajar perempuan Islam yang tidak dibenarkan memakai tudung ke sekolah meskipun ia satu tuntutan agama?

MOHD. NASSER: Saya telah meminta pengetua sekolah anak saya mencari seorang budak Sikh yang lengkap dengan serban uniform sekolah dan diletakkan di sebelah anak saya yang memakai tudung. Apabila saya bertanya kepadanya apa beza
antara serban Sikh dengan tudung anak saya, guru berkenaan tidak dapat memberi jawapan.

Saya pernah bertanya kepada guru sekolah Nurul Nasihah, kenapa anak-anak Sikh boleh memakai serban. Mereka menjawab, anak-anak Sikh dibenarkan memakai serban
sejak zaman kolonial British.

Saya tidak dapat terima hujah ini. Sekarang kerajaan British di United Kingdom sendiri sudah jauh berubah. Di sana anggota polis wanita British yang beragama Islam pun dibenarkan memakai tudung.

Malah budak-budak perempuan Islam di sekolah awam di United Kingdom juga boleh memakai tudung ke sekolah.

Saya ingin bertanya, mengapa Singapura hendak mengikut undang-undang British zaman dulu yang tidak maju. Mengapa ia tidak mahu mengikut British yang lebih maju dan bertoleransi seperti sekarang?

Kenapa kita harus tertinggal di belakang dalam isu-isu yang menuntut tolak ansur agama. Saya tidak nampak logiknya. Polis wanita Islam di Britain boleh memakai tudung tetapi polis wanita Islam di Singapura tidak dibenarkan menutup auratnya.

Saya percaya manusia mempunyai hak dan perlu bebas menjalankan agamanya. Inilah yang mendorong saya untuk mempertahankan keputusan saya. Kita perlu menghormati
kebebasan beragama dan kebebasan untuk melaksanakan ajaran-ajaran agama.

Dalam Islam tidak ada paksaan. Orang Islam tidak memaksa anak-anak Sikh buka serban. Saya fikir anak saya yang beragama Islam juga tidak boleh dipaksa untuk membuka tudungnya.

Malangnya kini hak anak saya itu telah ditekan dan dia tidak dibenarkan memakai tudung. Dia kini digantung sekolah. Haknya untuk mendapatkan pendidikan telah disekat.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Mufti Singapura, Syed Isa Semait menyatakan bahawa menuntut ilmu lebih penting daripada memakai tudung.
Apakah sikap saudara memandangkan badan agama Islam Singapura sendiri mengeluarkan kenyataan seumpama itu?

MOHD. NASSER: Saya ingin bertanya, adakah kenyataan itu satu fatwa atau pendapat peribadi. Kalau ia satu fatwa, maknanya ia mesti melalui proses tertentu yang melibatkan perundingan antara ulama-ulama Islam di Singapura.

Saya tidak dapat menerima pandangan itu. Mufti pun tidak dapat
memberikan kata pasti adakah kenyataannya itu satu fatwa.

Selain itu adalah menjadi hak saya sebagai seorang Islam sama ada untuk bersetuju atau tidak dengan mereka.

Mufti juga adalah manusia biasa. Dan kalau saya berbeza pandangan dengannya, saya fikir itu adalah wajar.

Apakah harapan saudara mengenai penyelesaian isu ini?

MOHD. NASSER: Saya fikir adalah satu kesilapan besar di pihak
pemerintah Singapura sekiranya anak saya tidak dibenarkan belajar hanya kerana dia memakai tudung.

Langkah itu akan menyekat anak saya daripada berinteraksi dengan kawan-kawan yang lain sekali gus tidak memberinya peluang belajar.

Ini, saya rasa, adalah perbuatan yang tidak munasabah kerana ia
melanggar hak asasi manusia. Di Australia dan Britain, pemerintah di sana menjaga hak asasi manusia, kenapa Singapura tidak membuat perkara yang sama?

Sebagai bapa, saya cuma dapat berharap agar anak saya akan dibenarkan ke sekolah semula seperti biasa dengan memakai tudung menutup auratnya.
Kasihanilah dia.

Bagaimanakah saudara melihat kesan isu tudung ini dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang?

MOHD. NASSER: Dalam jangka masa pendek, saya rasa orang Islam di Singapura rasa tertekan. Saya tahu bahawa majoriti keluarga Islam di negara  ini inginkan anak mereka bertudung ke sekolah. Mungkin sesetengahnya berasa kecewa dan marah.

Dalam jangka masa panjang pula, dasar pemerintah Singapura itu tidak baik untuk integrasi kaum. Suasana ke arah integrasi kaum tidak diwujudkan di sekolah-sekolah dalam konteks para pelajar saling menerima perbezaan budaya dan agama
masing-masing.

Saya bimbang keluarga Islam berasa anak-anak orang Islam dipinggirkan. Dasar menghalang pemakaian tudung ke sekolah, misalnya, memberi kesan kepada cara majikan-majikan di Singapura mengambil pekerja. Ia menyebabkan banyak
syarikat tidak akan mahu mengambil wanita Islam yang bertudung kepala bekerja dengan syarikat mereka.

Jika ini berlaku, ia sebahagiannya berpunca daripada dasar pakaian yang tidak fleksibel di sekolah-sekolah di Singapura. Saya bimbang kalau-kalau dasar melarang bertudung ini diperluaskan ke bidang-bidang lain khususnya pekerjaan
kerana bila ini terjadi, orang Islam di Singapura akan semakin
keterbelakang.


 



__________________
Sabar menanti hari .... Tenang menunggu waktu... Khusyuk meniti masa...
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard